Tuesday, January 27, 2015

Catatan perjalanan Haji 1435H : Makkah AlMukarramah


Musim haji di Makkah sangat berbeza dengan waktu2 lain di sana. Kota Makkah yang memang sedia padat, menjadi lebih padat luar biasa pada musim haji. Bayangkan betapa ramainya umat islam yang datang dari segenap pelusuk dunia, berkumpul bersama pada waktu ini dengan satu matlamat; iaitu mengabdikan diri kepada Tuhan sekalian alam. MasyaAllah. Kalau difikirkan memang hebat percaturan Allah swt. 

Perjalanan haji kami mengambil masa 6 minggu (45 hari) - bermula dengan 5 minggu di Makkah, dan seminggu terakhir di Madinah. Kami ada sekitar 3 minggu di Makkah sebelum memulakan ibadah haji (mulanya wukuf), jadi TH sarankan supaya buat Haji Tamattu'. Bermaksud mendahulukan umrah, kemudian baru ibadah haji. Berbeza dengan umrah, sewaktu haji, jemaah perlu lebih independent. Hampir semua aktiviti diatur sendiri jemaah, contoh buat umrah (pergi ke tana'im untuk berniat), dan ziarah (tarikh dan pengangkutan ada disediakan TH, jemaah hanya perlu pilih waktu mengikut keselesaan). TH juga ada menganjurkan ceramah2 agama dan tazkirah sepanjang di sana.

Penginapan

Di Makkah, kami menginap di Abraj Janadriyah (pusat operasi TH). Alhamdulillah, Abraj Janadriyah merupakan hotel TH paling dekat dengan Masjidil Haram jika dibandingkan hotel TH yang lain, sekitar 750m. Tapi perjalanan yang sedikit berbukit ditambah sebahagian kawasan Masjidil Haram yang dalam pembinaan, membuatkan perjalanan kurang 1 km itu masih sedikit mencabar. 


Laluan pulang dari masjid. 
Abraj Janadriyah, bangunan perang di sebelah kiri tu.


Depan Abraj Janadriyah

Kami ditempatkan berenam satu bilik, termasuk ibu mertua saya. Semua jemaah2 haji yang satu bilik dengan saya sudah berusia 45 tahun ke atas. Ibu mertua saya yang paling 'senior' , 69 tahun. Dan semua dari Melaka, hihi jodoh kuat dengan orang Melaka ye. Alhamdulillah, kami dipertemukan dengan ahli2 bilik yang baik2 belaka. Hampir semua perkara kami buat bersama, termasuk rakan2 sebilik suami (yang juga 6 orang dan suami kepada ahli2 bilik saya). Makan bersama, ke masjid bersama, buat umrah bersama, pergi ziarah juga sama hihi. Penting juga untuk menimbulkan keserasian sesama ahli bilik. Bilik yang ditempatkan tidak besar dengan ruang simpanan yang terhad. Malahan bilik air juga satu. Kerjasama dan tolak ansur sangat-sangat perlu. Ada juga yang kami dengar ahli2 bilik lain berselisih faham antara satu sama lain. Perkara yang perlu dielakkan semasa di sana. Ingat kita ke sana dengan matlamat apa, jangan dibuka ruang untuk dosa yang kita tak sedar pula.

Perkhidmatan

Sekitar Abraj Janadriyah, ada deretan kedai2 kecil (menjual jubah, abaya etc) dan juga kedai runcit untuk beli barangan makanan harian. Walaubagaimanapun TH ada menyediakan packing makanan untuk lunch dan dinner, cuma kadang2 saya beli juga bekal roti atau biskut untuk hari2 yang beriktikaf lama di masjid. Juga memandangkan Abraj Janadriyah merupakan pusat operasi TH, jadi segala kemudahan, TH ada sediakan. Contohnya klinik, farmasi, kaunter kewangan TH, dobi, kafe dll.. senang, semua bawah satu bumbung. Alhamdulillah, pujian harus diberikan kepada TH yang memberikan perkhidmatan terbaik kpd jemaah haji Malaysia. Thumbs up! 

Walaupun ada disediakan dobi, tapi upahnya boleh dikatakan mahal. Satu jubah saja ada yang charge sehingga 10riyal. Kami lebih selesa basuh sendiri baju (sabun, berus dan baldi boleh dibeli di kedai runcit berdekatan- tak perlu bawa  dari Malaysia). TH ada sediakan ruang terbuka di tingkat atas hotel untuk menyidai baju. 2jam saja baju sudah kering.

Ada juga hari2 yang kami berjalan sekitar Kota Makkah (walking distance) untuk jalan-jalan cari makan hihi. TH menyediakan hidangan nasi berlauk melayu (tukang masak indonesia). Dah namanya duduk di Tanah Arab, kadang2 teringin jugak nak makan masakan Arab kan. Jadi, kami ambil jarak waktu sebelum solat yang sedikit panjang untuk pusing kawasan berdekatan; biasanya selepas subuh waktu sarapan dan balik sebelum habis dhuha. Saya pergi berdua dengan suami, kadang kami ajak kawan yang bertugas sebagai doktor (TH). Siap tapaukan nasi arab berbungkus2 untuk share dengan jemaah2 haji lain yang sudah sedikit uzur dan tak larat nak jalan jauh2. Seronok bila dikenang2 momen-momen begini :') Oh ya, in case kalau ada yang bertanya; kami memang bawa bekal sambal bilis, dan kicap dari Malaysia (tapi jangan dalam kuantiti yang banyak). Tekak melayu, nak jugak ada sambal hihi.



Merasa Nasi Khabsa Arab di Safa Towers

Kelebihan dan cabaran haji muda

Setiap kali ke masjid, saya yang memimpin perjalanan.. memandangkan saya bawa bersama ibu mertua dan makcik2 yang sudah sedikit berumur. Suami saya pun begitu, biasanya dia akan tolong mereka yang berkerusi roda. Menolak kerusi roda di kawasan berbukit lebih challenging. Bagi saya, ini adalah kelebihan, dan pada masa yang sama merupakan sedikit cabaran bagi jemaah haji muda (walaupun saya tidaklah begitu muda hehe). Kami sentiasa diharapkan dan sudah jadi kebiasaan, kami yang akan kehadapan untuk membantu. Jemaah2 haji memang kebanyakannya sudah berumur dan ada yang sudah sangat tua. Disinilah peranan kita sebagai jemaah haji muda. Saya sarankan kpd rakan2 semua, pergilah haji dalam usia muda begini, insyaAllah bukan hanya dapat menjalankan ibadah haji; malah beribu amalan lain yang dapat kita kaut di sini. Bak kata ustazah bimbingan TH, ibadah haji ni seperti lubuk pahala, hatta sekuman amalan baik pun berganda ganjarannya. InsyaAllah.

Walau macamanapun, cabaran jemaah haji muda sebenarnya lebih hebat - iaitu menahan sabar. Memang perlu sangat-sangat-sangat bersabar. Pulak jiwa muda (cewah), cepat je rasa nak marah dan nak cepat (sebab dah biasakan rutin mengejar apa ntah taktau ..huhu). Macam2 perkara yang menuntut kesabaran. Memang betul, haji merupakan medan bagi orang2 yang sabar. Banyak saya belajar tentang sabar, sebab tu dalam Al-Quran banyak kali Allah sebutkan perihal sabar. Betapa pentingnya sifat ni. Rasulullah pun sangat penyabar orangnya kan, walau hebat di cemuh dan dicaci, baginda tetap sabar.

Allah swt berfirman:
“Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kalian agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar diantara kalian.” (Muhammad:31)

Masjidil Haram

Setiap kali ulang alik ke masjid, kami dah sepakat untuk berjumpa semula di satu pintu sahaja. Ini disebabkan, ada waktu2 yang saya dan suami terpaksa berpisah dengan ibu ayah mertua dan jemaah2 lain (untuk buat tawaf sunat dsb). Kami juga sedaya boleh untuk mencari tempat solat yang berbeza setiap kali solat di masjid, dan sedaya boleh tempat yang betul nampak kaabah (disebabkan kawasan Masjidil Haram banyak construction, banyak tempat sudah terhadang dari pandangan ke kaabah). Seronoknya di sini, air zamzam tiada limit. 



Tak putus2 manusia tawaf mengelilingi kaabah. Walaupun panas terik matahari atau sejuk waktu malam sampai ke tulang, umat islam tetap setia mengelilingi kaabah.

Mataf 3 tingkat sudah disediakan sebagai tambahan untuk jemaah mengerjakan tawaf. Untuk lebih keselesaan (dari tolak-menolak), tingkat 2 menjadi pilihan. Tetapi, sedikit terhadang dari pandangan terus ke kaabah.


Di sini, semua orang berlumba2 beramal ibadat. Selain solat dan zikir, di kawasan tawaf ni ada yang menyediakan air zam-zam untuk orang yg sedang bertawaf, ada yg sedekah tasbih tujuh biji untuk memudahkan membilang bilangan tawaf dsb.


Laluan dataran dan kawasan saie (disebalik bangunan). Di dataran ini boleh dikatakan menjadi laluan kami hari-hari ulang alik ke masjid.


Sewaktu kami di sana, sebahagian bangunan Masjidil Haram ditutup disebabkan renovation dan ada beberapa laluan sementara dibuat. Sana sini penuh dengan construction. Ada beberapa bangunan baru yang sudah siap juga dibuka untuk menempatkan jemaah haji yang semakin ramai. Kami hanya pernah sekali saja merasa solat di bangunan tambahan ni. Senibinanya lebih cantik dan moden. Saya rasa di masa akan datang bila bangunan tambahan ni dah siap sepenuhnya, Masjidil Haram boleh menempatkan ratusan ribu lagi jemaah dengan ruang yang lebih selesa jika dibandingkan dengan sekarang. Alhamdulillah.


Antara bangunan baru di Masjidil Haram.


Ini pula toilet tambahan di kawasan bangunan baru, rekabentuk moden

Di sini juga saya tak lepaskan peluang untuk sama-sama solat jenazah berjemaah. Seperti dah jadi satu kemestian untuk turut sama solat jenazah. Dan sudah jadi kebiasaan untuk terlihat jenazah diusung di laluan2 dalam Masjidil Haram, berbeza dengan Masjid Nabawi kerana tempat solat wanita terasing dari tempat solat lelaki. Sebab itu agaknya orang2 alim bercita2 untuk meninggal di Tanah Haram, kerana insyaAllah disembahyangkan oleh puluhan ribu umat islam, diimamkan imam besar Masjidil Haram dan betapa ramainya yang mengaminkan doa buat kita. MasyaAllah. Pernah sekali saya solat bersebelahan wanita dari Turki, usai solat jenazah jemaah; tiba-tiba dia bercerita pada saya mengenai enaknya kalau dapat mati di situ. Walaupun dengan sebutan Bahasa Inggerisnya yang kurang difahami, tapi saya dapat mengagak apa yang cuba disampaikan. Kadang2 rasa nak tergelak bila teringat betapa macam ayam-itik nya perbualan kami, hihi. Tapi Alhamdulillah, inilah ertinya persaudaraan dalam islam, duyufurrahman :)

Hari-hari menghampiri wukuf

Seminggu sebelum bermulanya haji, mula terasa bahang kesesakan yang luar biasa. Kawasan tawaf sudah teramat2 padat, menjadikan harapan untuk mengucup hajar aswad sangatlah tipis. Jangankan kata nak kucup, nak tengok sekilas pun tak nampak bayang. Ramai sangat berpusu-pusu di situ. Bas-bas yang menghantar jemaah ke Masjidil Haram pun makin bertambah. Jemaah2 yang naik bas ni kebanyakannya menginap jauh dari masjid. Jemaah haji Malaysia boleh dikatakan beruntung sebab TH menyediakan tempat penginapan yg boleh dikatakan dekat dan dalam walking distance saja. Alhamdulillah. Ada juga jemaah haji dari negara2 spt Pakistan/India, Turki, Lybia dll yang tidak menginap pun di mana2 hotel atau rumah tumpangan, mereka lebih gemar back-packing dan tidur di sekitar masjid sementara tunggu hari wukuf.

Ketika ini, kawasan Masjidil Haram menjadi sangat meriah dan padat. Tiada satu waktu pun yang lengang, city that never sleep kata orang. Waktu ni juga, TH sudah sarankan bagi jemaah yang uzur untuk tidak kerap ke masjid kerana dikhuatiri hilang atau sakit. Hanya solat berjemaah di hotel. Kalau nak datang solat jemaah dalam Masjidil Haram pun dah kena datang awal dari biasa. Pengawal akan tutup pintu masjid kadang2 sejam sebelum masuk waktu, bagi mengawal kepadatan jemaah yang masuk ke dalam Masjidil Haram. Kadang tu kalaupun dapat masuk awal, masih tiada tempat untuk solat. Terpaksa menyelit2 di celah tiang huhu.

Sewaktu dah hampir nak berangkat ke masyair (kawasan luar Makkah bagi ibadat haji; Arafah, Mudzalifah, Mina), waktu-waktu begini kebanyakan jemaah haji sudah mula buat persiapan. TH pun ada membuat ceramah persediaan dan ulangkaji perkara2 berkaitan ibadah haji. Masa ni perasaan sangat berdebar2 dan tidak sabar menunggu hari wukuf. Setiap waktu berdoa agar dipermudahkan urusan semasa di sana, dilancarkan perjalanan pergi dan balik. Sebelum ni, dah dengar macam2 cerita dan cabaran yang jemaah haji lalui di Masyair. Semestinya, saya pun hadapi juga.

InsyaAllah, sambungan entry selepas ni. Kita ke Arafah pula... 



[Catatan ini ditulis adalah sebagai kenangan kami mengerjakan ibadah haji pada 2014/1435H. Bukan ditulis untuk berbangga diri atau riak dengan peluang menjadi tetamu-Nya. Moga dijauhkan dari sifat-sifat ini. Juga ditulis hanya sebagai catatan perjalanan dan bukan panduan secara menyeluruh, jadi berkemungkinan ada kekurangan dan kesilapan. Kepada pembaca, mohon didoakan agar ibadat yang telah kami lakukan diterima Allah swt, dan dijemput lagi ke sana. InsyaAllah]

5 comments:

juelee said...

alhamdulillah mawar... baca cete ko ni, rasa x sabar nk pegi, smg ada rezeki kami satu hari nanti .. aminn

ily♥ said...

Ya Allah mawar...seronoknya baca pengalaman ko. Terbayang2 kenangan umrah. Semoga Allah permudahkan urusan Haji pula selepas ni, InsyaAllah..Ameen..

sisanizu said...

sy menangis bc catatan mawar. T_T tergambar betapa bertuahnya berada di sana menjadi tetamu Allah.

Unknown said...

best ny akak, xsabar nk dapat pangggilan ni jg

Unggal said...

Bagi u 10 stars.... setiap coretan pengalaman yg sgt berharga. Alhamdulillah akak alami situasi ini sekarang. Semoga Allah swt akan memilih kita lagi sebagai tetamuNya. InsyaAllah.