Wednesday, February 4, 2015

Catatan perjalanan Haji 1435H : Wukuf di Arafah


Setelah lebih 3 minggu berada di Makkah, kini bermulalah perjalanan menunaikan Fardhu Haji. Kami berangkat ke Padang Arafah sehari sebelum hari wukuf, iaitu pada 2 Oktober 2014/ 8 Zulhijjah 1435H. 

Untuk ke Arafah, jemaah hanya perlu bawa barang keperluan yg penting shj. Tidak digalakkan bawa banyak barang disebabkan ruang sangat terhad di dalam khemah. Semua jemaah sudah siap sedia diberikan nombor khemah di Arafah dan Mina, dan juga nombor bas. Perjalanan bermula dari maktab menaiki bas mengikut nombor yang diberikan. Sebelum bergerak, saya mohon ampun dan saling bermaafan dengan suami. Menangis dan buat drama swasta kejap.

Perjalanan dari Makkah ke Arafah tidak jauh, lebih kurang 23km. Tapi kami mengambil masa lebih kurang 3 jam untuk sampai ke khemah. Bas yang kami naiki rosak di tengah jalan. Itulah cabaran pertama perjalanan haji kami. Huhu. Kami tidak ditemani mana2 petugas TH waktu itu, hanya ada pemandu bas berbangsa arab. Hanya sekali je ternampak pemandu bas tersebut bercakap telefon, kemudian hanya duduk di tepi bas. Bila ditanya, hanya cakap dia tunggu kawannya untuk datang baiki. Erkk..

Ada beberapa jemaah mula mengomel2 dan marah2 dengan ketidakcekapan TH dan muassasah Arab Saudi mengendalikan perkhidmatan pengangkutan. Ada terjadi sedikit perbalahan mulut antara jemaah apabila ada yg cuba menenangkan. Saling meninggi suara untuk menegakkan hujah. Sangat tegang rasanya waktu itu. Tidak lama kemudian, keadaan kembali tenang. Mungkin masing2 tersedar kesalahan diri dan akhirnya saling bermaafan. Saya menangis kejap. Manusia kalau hidup saling mencintai itu sebenarnya sangat menenangkan jiwa, kan.

Tidak lama kemudian, akhirnya kami dapat hubungi muassasah Arab Saudi yg menjaga maktab kami (semasa dalam haji, urusan pengangkutan adalah di bawah muassasah Arab Saudi, bukan TH). Nasib baik dalam kumpulan bas kami ada yg fasih berbahasa arab, mereka beritahu yg pihak sana akan menghantar bas yang lain secepat mungkin. Sementara menunggu, kami sekumpulan bertalbiah beramai-ramai. Bergema tengah padang pasir tu dengan bacaan talbiah kami. MasyaAllah. Sekejap2 saya menangis. Sekejap2 meremang bulu roma. Terasa kalimah Labaikallah itu sangat meresap dalam jiwa.

Kami tiba di khemah Arafah lebih kurang 3 petang, bas yang ke 2 bergerak dari hotel menjadi bas terakhir yang sampai (bagi maktab kami). Huhu. Kat Padang Arafah ni, setiap negara diberi lokasi2 tertentu, jadi jemaah Malaysia tidak bercampur dengan jemaah negara lain. Khemah yang disediakan sangat besar, berlantaikan karpet dan dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut blok. Setiap blok ada dalam 10 orang. Tiada kipas angin disediakan, hanya ada angin semulajadi. Juga khemah yang disediakan tidaklah tertutup rapi, jadi kena sentiasa menutup aurat sebab jemaah lelaki boleh ternampak bila lalu-lalang di kawasan berhampiran.

Bilik air dan tandas sangat-sangat terhad di sini. Berkali2 juga jemaah diingatkan supaya menggunakan tandas dalam kadar keperluan sahaja. Sangat tidak digalakkan untuk mandi dan berlama2 di dalam bilik air. Tetapi, masih ada juga yang tidak prihatin dan mementingkan diri sendiri. Memang sabar sajalah ubatnya. 


Bersama jemaah2 haji satu khemah. Sekeluarga dari Sarawak


Khemah jemaah lelaki

Di sini makanan disediakan oleh Muassasah Arab Saudi, berbentuk pack seperti yang TH sediakan di Makkah. Ada satu kejadian yg saya nak ceritakan. Sepanjang di sini (termasuk di Makkah), saya selalu menawarkan diri untuk ambilkan pack makanan utk semua jemaah dalam kumpulan; saje menghulurkan pertolongan kecil untuk memudahkan jemaah 'senior'. Masa mula2 sampai di khemah Arafah, saya hanya ambilkan 10pack makanan sahaja untuk kumpulan blok dalam khemah kami. Semasa mengagihkan makanan tersebut, pack yg saya ambil tak cukup. Kurang satu. Berkali2 saya kira (termasuk setiap org ahli menyebut nombor masing2 dan saya panggil nama setiap ahli kumpulan), masih tetap kesemuanya 11orang. Senarai yang tertulis di atas kertas memang 10 orang shj. Seram sejuk sekejap.

Tak lama kemudian, barulah saya perasan ada seorang kakak yang duduk betul di pintu khemah. Berpakaian putih dari atas ke bawah. Diam dari tadi. Mungkin nama dia tertinggal. Bila saya hulurkan pack makanan, tiba2 dia menerangkan situasi sebenar. Kakak tu sebenarnya perantau, berasal dari Kelantan dan suaminya sedang belajar di Universiti Madinah. Saya panggil 'kakak' kerana dia baru shj berusia 37 tahun. Kakak tu bersendirian bersama suami mengerjakan haji, tidak mengikuti mana2 jemaah. Dari ceritanya, dia dan suami naik bas lompat dari Madinah ke Makkah (sebab banyak bas penuh) dan terpaksa berjalan separuh perjalanan dari Makkah ke Arafah. Dia minta sedikit ruang untuk tumpang bermalam di khemah kami. Saya macam terkagum dan terharu. Perjalanan haji kakak ni mungkin lebih hebat, saya berfikir sendirian. Saya nyatakan yang tiada masalah untuk dia duduk di situ, kami semua pun sama-sama menumpang :) Malam tu kami bertadarus bersama, walaupun sekejap tapi banyak saya belajar dari kakak tu. Nampak simple saja orangnya, tapi ilmunya tinggi. Alhamdulillah, perkenalan yang saya tak jangka; tapi cukup buat saya bermuhasabah diri. Terima kasih Allah.

Esoknya 9 Zulhijjah, selepas solat jemaah jamak tamam zohor-asar, maka bermulalah wukuf. Wukuf di Arafah adalah salah satu Rukun Haji. Tidak berwukuf, bermakna tiadalah haji. Khutbah Arafah bagi maktab kami disampaikan oleh Dato Seri Jamil Khir, menteri di Jabatan Perdana Menteri. Dipenghujung khutbah, Dato' Seri Jamil membacakan doa penutup dan sesiapa yg mendengar pasti akan mengalirkan air mata. Saya menangis tersedu sedan, basah habis telekung. Tak cukup telekung, tuala kecil yang saya pegang pun habis basah lencun. Air mata betul sangat murah di Padang Arafah.

Selepas Asar, suami panggil saya keluar khemah. Mencari kawasan lapang untuk berdoa tanpa teduhan dari matahari. Mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW yg berdoa di Padang Arafah di kawasan lapang dengan mengangkat tinggi kedua tangannya. Waktu dan ketika inilah saat2 yang paling ditunggu2 oleh semua umat islam. Tempat yang paling afdhal, masa dan waktu yang paling afdhal untuk berdoa, doa yang tidak terhijab; maka di Arafah lah tempatnya, dan waktu selepas Asar dan sebelum Maghrib (gelincir matahari). Peluang ini datang hanya setahun sekali dan kemungkinan seumur hidup sekali sahaja. 

Dengan mengadap kiblat, suami memimpin doa. Doa terpanjang saya kira. Doa dan berdoa. Sahabat2 yang mengirimkan doa pun turut kami doakan. Tanpa henti berdoa. Saya lihat tangan suami tak jatuh langsung, meleleh air mata ni tak tertahan2 rasanya. Entah berapa kali saya menangis. Menangis, sambung lagi menangis. Selang seli suara tangis saya dan suami. Bila suami berhenti kerana menangis, saya sambung doanya. Sambung menangis lagi. Allahu. 



Sewaktu matahari terbenam, saya melihat matahari semakin hilang dengan hati yang tidak rela, serasa tak nak berganjak dari waktu itu. Huhu. TH sudah memanggil jemaah mengikut giliran nombor bas untuk bergerak ke Muzdalifah pula. Ikuti sambungannya, InsyaAllah.


[Catatan ini ditulis adalah sebagai kenangan kami mengerjakan ibadah haji pada 2014/1435H. Bukan ditulis untuk berbangga diri atau riak dengan peluang menjadi tetamu-Nya. Moga dijauhkan dari sifat-sifat ini. Juga ditulis hanya sebagai catatan perjalanan dan bukan panduan secara menyeluruh, jadi berkemungkinan ada kekurangan dan kesilapan. Kepada pembaca, mohon didoakan agar ibadat yang telah kami lakukan diterima Allah swt, dan dijemput lagi ke sana. InsyaAllah]


5 comments:

ily♥ said...

Murah sungguh airmata aku baca catatan haji ni, mungkin tak semurah airmata kau yang tumpah di bumi arafah..Tapi catatan ni cukup menggetarkan hati aku..Rindunya hanya Allah yang tahu..

Fizah said...

rasanya baru sapu rumah td tapi masih ada habuk petang2 ni..huhu ;')

murah rezeki korg Allah panggil awai...harap ada rezeki kami pulak nti..mesti perasaan duk sana adalah sesuatu yg tak dpt digambarkan kan..aku yg baca ni pun dah meremang apatah lagi kalau dah sampai sana. Subhanallah..smg dpt jejak sana jugak..ameen

Aini Izzah said...

Masyaallah... indah sungguh gambaran yang diberikan oleh saudari... bekali kali air mata ini berderai tatkala membaca coretan saudari... insyaallah.. saya dan suamiakan menjadi tetamu Allah untuk mennunaikan haji tahun ini 1436H..

nieb said...

Terimakasih tak terhingga utk catatan ini..

siti aishah said...

Subhanallah...hebat entry puan ini...