Friday, January 8, 2016

Abah


Sudah hampir sebulan abah pergi. 10 Disember 2015. Rindu sangat.

Saya cuba kuat untuk terus menaip di ruang ini, tapi sungguh tersiksa rasanya :'(

Kami redha dengan pemergian abah. Abah didiagnos mengidap kanser limfoma stage 4 sejak pertengahan november lalu. Disebabkan kanser abah sudah ditahap kritikal, doc suggest untuk terus buat kimo pada minggu berikutnya. Ditambah pula ketika itu abah dapat batuk yang teruk, ada kuman dalam paru-paru abah. Tapi Alhamdulillah, seminggu selepas kimo abah nampak stabil dan kuat. Banyak bercakap walaupun ada juga mengadu sakit perut. Paling terkesan, abah selalu cakap nak jumpa cucu-cucunya (kanak-kanak bawah 12 tahun tidak boleh masuk wad, mungkin sebab high-dos reaction yg boleh membahayakan kanak2). Kami selalu bagi semangat pada abah supaya lekas sembuh, dan boleh keluar hospital main dengan cucu-cucu. Abah tersenyum-senyum dan nampak semangat.

Selepas seminggu itu, tiba-tiba abah sesak nafas. Tiga hari abah di ICU sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir. Doc maklumkan paru-paru abah dah rosak, disebabkan jangkitan kuman dan mungkin juga sebab penggunaan antibiotik yang terlalu banyak. Walaupun pedih mendengarnya, saya bersyukur kerana waktu abah pergi kami mengelilingi abah. Sama-sama mengucap dan memimpin abah mengucap syahadah. Isteri, anak-anak, menantu-menantu abah semua ada serta ahli keluarga yg lain. Suatu waktu yang masih lagi terbayang-bayang di ruang mata saya. Terasa seperti jantung ini direntap sekejap. Allah. Moga Kau tempatkan abah di kalangan orang yang beriman, lapangkanlah kuburnya dan jadikan kuburnya sebagai lubang-lubang syurga. Masukkan abah ke dalam syurgaMu ya Allah.

Sewaktu hari pengkebumian abah, sungguh ramai yang hadir. Ahli keluarga besar kami semua hadir walaupun ramai yang duduk jauh-jauh timur utara selatan. Sahabat-sahabat abah dari zaman sekolah, hampir kebanyakannya hadir. Sahabat sekampung, satu batch UiTM, sahabat dari office kerja lama dan ramai lagi. Sejak malam jenazah abah sampai ke rumah, tidak putus2 ada saja kenalan abah yang datang membacakan yaasin untuknya. Allahu, sungguh ramai sehingga saya sendiri merasakan kasih sayang mereka terhadap arwah abah sangat kuat. Semoga saya juga ada sahabat-sahabat seperti mereka, dunia-akhirat insyaAllah.

Alhamdulillah, esoknya proses pengkebumian jenazah abah berjalan lancar dan dimudahkan. Anak-anak dan menantu abah yang mandikan jenazah abah. Disusuli kemudian mengimamkan solat jenazah abah. Hanya tidak dapat mengetuai bacaan doa dan talkin, yg mana diambil alih oleh adik sepupu abah. Semasa menurunkan jenazah abah ke liang lahad juga disambut oleh anak-anak lelaki abah. InsyaAllah, kami akan terus istiqamah mendoakan abah di sana. Abah, terima kasih atas pengorbanan untuk anak-anak abah selama ini. Moga-moga abah tersenyum melihat ini semua.

Untuk tahun-tahun yang lalu bersama abah, terlalu banyak kenangan terindah yang tak mungkin dapat dilupakan. Untuk setiap kasih sayang dan belaian manja yang abah berikan, untuk setiap kata hikmah dan dorongan yang abah salurkan, untuk setiap pukulan dan marah sayang yang abah lontarkan..setiap cerita-cerita lucu, teka teki tekak tekuk yang sangat susah nak dijawab hihi.. semuanya tetap segar diingatan serasa macam baru semalam kita bergurau-gurau.

Abah memang terkenal dengan sifat 'garang'nya di antara ahli keluarga besar kami. Adik-adik abah (pakcik-makcik saudara saya) semua mengakui abah memang garang dengan adik-adik dan selalu periksa buku sekolah adik-adiknya. Masa kecil, kami adik-beradik pun sangat takut dengan abah. Semua 'cerita dalam kain' memang akan diceritakan pada ma je, tak sanggup nak kena libas dengan abah. Sampaikan dulu kalau tak solat, lebih takutkan tali pinggang abah walaupun tahu tinggal solat, siksanya lebih dasyat di alam sana. Huhu. Tapi saya bersyukur kerana abah garang, kalau tak.. manakan mungkin saya jadi orang :') Bila saya sudah berkahwin dan beranak-pinak, abah mula 'cool down' dan sangat rapat dengan cucu-cucu. Baru terserlah abah yang dulu sangat garang itu sebenarnya sangat penyayang dan lemah lembut. Anak saya, Najla yang paling rapat dengan atok. Sehingga ke hari ini kalau tiba-tiba teringat, dia akan muram dan menangis rindukan arwah atoknya.

Masa abah sakit, ma orang yang paling setia disisi abah. Siang dan malam tak berganjak menemani abah, walaupun ma sendiri sakit lutut. Ma sangat sabar dan kuat. Saya terharu melihat ma. Sungguh saya belajar tentang kesetiaan dan kasih sayang seorang isteri. Bila abah pergi, ma orang yang paling sedih. Teman sejiwanya pergi dulu, siapa pun akan sedih. Kami adik-beradik cuba kuat untuk ma. Pemergian abah rasanya terlalu cepat. Sebulan sebelum itu abah masih sihat seperti biasa. Rasa tak percaya pun ada. Tapi atas keyakinan  bahawa Allah lebih sayangkan abah, membuatkan hati ini kembali tenang dan redha.

Moga abah tenang di sana. Moga Allah izinkan kita bertemu dan bersatu kembali di syurga nanti selamanya. InsyaAllah.

Al-Fatihah.

3 comments:

juelee said...

takziah mawar... smoga arwah ditempatkan di kalangan yg beriman.. mmg perit rasa tu.. aih aku takleh tulis benda gini, cuma boleh simpan ketap2 dlm ati

sarah shafie said...

takziah mawar...semoga arwah abah mawar tenang di sana..menitik air mata..

Unknown said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)