Monday, March 23, 2015

Catatan Perjalanan Haji 1435H : Mabit di Muzdalifah, Mina dan Melontar Jamrah


Alhamdulillah, bersambung lagi  :)

Kami sampai di Muzdalifah pada waktu malam. Di sini hanya tanah kosong yang luas, tiada khemah disediakan. Berlantaikan tanah, berbumbungkan langit. Waktu untuk mabit di Muzdalifah adalah selepas wukuf waktu Maghrib sehingga terbit fajar 10 Zulhijjah. Jadi hanya sekejap sahaja berada di sini. Tak banyak aktiviti yg boleh dibuat di sini. Dengan keadaan yg gelap (hanya ada lampu jalan dan torch light kalau ada). Kami hanya mengutip batu2 yang akan digunakan untuk melontar jamrah, berzikir dan selebihnya beristirehat sementara menunggu bas datang untuk berangkat ke Mina pula. 

Keadaan sedikit huru hara sewaktu menunggu bas datang mengambil kami. Mungkin jalanraya sesak dengan bas yg membawa jemaah yg ramai dalam masa yg serentak, ditambah kadar waktu yg singkat untuk bas mengulang2 perjalanan untuk mengambil jemaah. Berlaku sedikit tolak-menolak dan berebut2 setiap kali bas datang (walaupun sudah diberikan no bas, tapi jemaah tidak mengikut pun aturan yg TH dah sediakan. Entah, mungkin masing2 tidak sabar2 untuk sampai ke Mina). Teringat pesan Ustaz TH sebelum memulakan ibadah haji haritu, katanya di Muzdalifah lah jemaah banyak di uji. Kami beristighfar.. dan sambung tidur (hihi). Sambung istirehat sementara menunggu keadaan tenang untuk menaiki bas ke Mina.



Alhamdulillah, akhirnya kami sampai di Mina lebih kurang sejam sebelum masuk subuh. Mina sebuah kawasan yang luas dan sesak dengan khemah-khemah. Berjuta-juta jemaah haji dari seluruh dunia berada di sini, di sinilah kita perlu melontar batu. Khemah untuk rombongan kami diletakkan mengikut maktab tertentu. Papantanda maktab terdapat pada setiap pangkal lorong khemah untuk memudahkan jemaah mengecam khemah. Tapi masih ada juga yang asyik tersesat. Kadang saya juga keliru kerana setiap khemah dan lorong nampak sama. Dan kerap kali juga saya terpaksa menolong makcik2 yang tersesat mencari khemah mereka semula, asalkan nametag yang TH sediakan tidak ditanggal..insyaAllah akan jumpa. Kerana pada nametag tersebutlah terdapat no khemah dan kumpulan.

Setiap khemah menempatkan lebih kurang 40 orang jemaah. Berbeza dengan khemah di Arafah, khemah di Mina ada aircond. Wuuuu. Tapi janganlah membayangkan aircond seperti di hotel sana. Sekadarnya sahaja. Alhamdulillah. Soket elektrik juga disediakan tetapi tidak banyak, perlu bergilir-gilir untuk mengecas henfon dan kamera. Walaupun khemah yg disediakan tertutup rapi, tetapi masih perlu menjaga aurat kerana kadangkala tanpa dijangka ada sahaja orang arab lalu lalang untuk hantar bungkusan nasi, malahan ada juga suami2 jemaah yang datang untuk berjumpa dengan isteri mereka. Jadi perlu sentiasa dalam keadaan sedia menutup aurat.

Cabaran terbesar di Mina adalah bilik air yang kecil dan bilangannya yang sangat sedikit. Dalam bilik air ni ada tandas dan dikongsi dengan beratus2 jemaah. Keadaan bilik air di Mina lebih sesak berbanding di Arafah tempoh hari. Saya sendiri hanya mandi sekali sahaja sepanjang 3 hari berada di Mina (itupun mandi dalam keadaan yg sgt tergesa-gesa), dan mandi waktu pukul 12 tengah malam. Jemaah tidak begitu ramai waktu itu, kebanyakan masih tidur lagi. Selepas pukul 2 pagi adalah waktu paling kritikal untuk menggunakan bilik air. Jemaah sudah mula bangun untuk memulakan solat malam.

Melontar Jamrah

Ibadah melontar dimulakan dengan melontar jamratul 'aqabah pada 10 Zulhijjah. Waktu yang paling afdhal untuk melontar adalah pada waktu Dhuha. TH menyarankan untuk pergi pada waktu malam kerana keadaan sangat sesak pada waktu Dhuha. Jadi selepas maghrib kami pun beramai-ramai satu kumpulan ke Jamrah untuk membuat lontaran. Perjalanan lebih kurang 4 km dengan melalui terowong-terowong Muassim. Sepanjang perjalanan bergema laungan Labaikallah. Allahu. Perasaan berdebar-debar amat terasa sewaktu menghampiri kawasan melontar. Kawasan melontar itu dibina bertingkat-tingkat dan berbumbung.

Pertama kali melihat kawasan melontar, hati saya sangat terharu dan gembira. Rasa tak percaya sedang berdiri di hadapan kawasan melontar yang selama ini hanya dengar dari cerita orang sahaja. Jamrah itu sangat besar dan tinggi, ada tiang di tengah-tengahnya dengan sebuah lengkungan sebagai benteng di luar. Di bawahnya ada lubang yang sangat luas seperti kawah. Saya pun mengeluarkan uncang kecil yang berisi batu2 kecil bersaiz seeprti kacang kuda dan kira supaya cukup 7. Lalu saya melontar satu per satu ke arah tiang di tengah2 lengkungan itu. Setiap lontaran perlulah masuk ke dalam takungan/lubang jamrah itu dengan yakin. 



3 kubah itu menunjukkan 3 kawasan melontar, jamrah kubra, sughra dan wusta.


Esoknya, 11 Zulhijjah masuklah hari tasyrik. Bermulanya melontar 3 jamrah pada 3 hari tasyrik ; 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Oleh kerana hari pertama kami sudah mengikut mutawwif TH dan sudah mengenal sedikit sebanyak perjalanan dan kawasan sekitar kawasan melontar, maka untuk membuat lontaran jamrah pada hari tasyrik; kami membuat keputusan untuk pergi bersendirian dalam kumpulan kecil. Mulanya, pada 11 Zulhijjah kami cuba melontar pada waktu Dhuha. Alhamdulillah, walaupun kami selamat menunaikan ibadah melontar dengan baik tapi keadaan tolak menolak itu menggusarkan juga hati kami. Terutama ibu mertua saya yang sudah sedikit berumur, beberapa kali saya terasa pautannya pada lengan saya sangat kejap, katanya kaki seakan tak berpijak hanya bergantung kepada pautan pada lengan saya saja. Huhu. Perjalanan pulang ke khemah juga memberi cabaran kepada mereka. Kerana cuaca sangat terik waktu itu, ditambah badan sudah letih dengan tolak-menolak tadi; berkali-kali kami terpaksa berehat di bahu jalan sebelum sampai ke khemah. Rasa serba salah juga dibuatnya. Esoknya, 12 Zulhijjah kami keluar melontar selepas waktu subuh pula. Alhamdulillah, keadaan lebih tenang :)


Saya dan suami bersama ibu dan ayah mertua saya.

Pemandangan dari atas khemah Mina dari kawasan melontar.

Tiga hari di Mina, selain melontar; jemaah bebas membuat sebarang aktiviti. Ada gerai2 di tepi2 khemah untuk jemaah membeli-belah, tapi harganya berganda mahal berbanding di Makkah. Antara kesukaan saya di Mina adalah usrah. Seronok dapat menimba ilmu dalam masa yang sama mengeratkan ukhuwah antara duyufurrahman. Alhamdulillah, moga hubungan persaudaraan ini kekal selamanya. Selain tu, tidur beramai-ramai dalam keadaan himpit-menghimpit ini amat menggembirakan saya. Saya suka saya suka! Hihi..sesi urut-urut. Makcik-makcik ini memang sangat adorable, lepas kena urut,, saya dipeluk-peluk dicium-cium pula. Moga Allah merahmati mereka semua :) 

Wajah-wajah kesayangan di khemah Mina. 
Tak banyak gambar di dalam khemah kerana suasana yang 'kurang sesuai' dikongsikan. :D

Masa kursus haji perdana, ustaz beberapa kali juga mengingatkan untuk mengawal aktiviti-aktiviti kita di Mina. Isilah dengan manfaat. Elakkan bual2 kosong dan perkara2 yang tidak berfaedah. Beberapa hari sebelum ke tanah haram, suami mencadangkan "little mission" untuk saya-- hafaz beberapa surah seperti waqiah, mulk dan beberapa surah lagi. Alhamdulillah. Terima kasih kepada suami kerana selalu encourage saya untuk menghafaz Al-Quran. InsyaAllah. Moga istiqamah.

Selesai melontar 3 jamrah pada 3 hari tasyrik, kemudiannya kami pun pulang ke Makkah untuk membuat Tawaf  dan Saei Haji. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur masih diberi kesihatan yang baik sehingga waktu ini. InsyaAllah, sambung lagi di kesempatan yang lain.

[Catatan ini ditulis adalah sebagai kenangan kami mengerjakan ibadah haji pada 2014/1435H. Bukan ditulis untuk berbangga diri atau riak dengan peluang menjadi tetamu-Nya. Moga dijauhkan dari sifat-sifat ini. Juga ditulis hanya sebagai catatan perjalanan dan bukan panduan secara menyeluruh, jadi berkemungkinan ada kekurangan dan kesilapan. Kepada pembaca, mohon didoakan agar ibadat yang telah kami lakukan diterima Allah swt, dan dijemput lagi ke sana. InsyaAllah]

3 comments:

Aini Izzah said...

Ya Allah.... Masyaallah... Saya tunggu catatan mawar seterusnya ye... pengalaman di Madinah Al - Munawarah pula... Bandar yang bercahaya...

Anonymous said...

Mina penuh kenangan.kita merasa hidup dalam khemah..suasana bergunung ganang batu dlm suasana ramai.Waktu malamnya sejuk.Berjalan kaki menuju Jamarat dgn pemandangan indah.tak lupa Terowong al Muaisem

vimax asli said...

ok